The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan Liga Super ke-21 | Kuala Lumpur City FC lwn Selangor FC | 2025/26 | Perebutan Penting Derbi Lembah Klang

Mar 15, 2026 - FAS

Selangor FC akan berkunjung ke Stadium Cheras, Kuala Lumpur bagi menghadapi perlawanan Derbi Lembah Klang menentang Kuala Lumpur City FC dalam saingan Liga Super ke-21 yang dijadualkan berlangsung pada jam 10 malam ini.

Setakat ini, skuad Gergasi Merah berada di tangga ketiga liga dengan 39 mata, berkongsi jumlah mata yang sama dengan Kuala Lumpur City FC. Selepas mengharungi 19 perlawanan, pasukan mencatatkan 12 kemenangan, tiga keputusan seri dan empat kekalahan. Persaingan bagi merebut tempat kedua liga antara Gergasi Merah, The City Boys dan The Cats dilihat semakin sengit dengan hanya lima perlawanan berbaki dalam saingan Liga Super 2025/26.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, beliau menjangkakan satu perlawanan derbi yang sengit, namun yakin pasukan telah membuat persiapan rapi.

“Kuala Lumpur City merupakan sebuah pasukan yang seimbang dengan kualiti tersendiri, jadi kami menjangkakan perlawanan yang sukar, lebih-lebih lagi kerana bermain di gelanggang mereka. Kami telah membuat persiapan rapi mengikut pelan permainan dan para pemain memahami apa yang perlu dilakukan. Pasukan perlu bermain dengan penuh semangat dan bersedia untuk memberikan cabaran sebenar kepada mereka. Pada masa yang sama, kami akan memanfaatkan kekuatan pasukan sepenuhnya,” jelas Kim Pan-gon.

Bagi para penyokong yang tidak dapat hadir ke Stadium Cheras malam ini, ayuh turun ke Watch Party, tayangan langsung anjuran kelab di Suasana Market Hall bermula jam 9 malam. Jumpa anda di sana, Gergasi Merah!

Pihak pengurusan Selangor FC yakin pasukan akan memberikan saingan yang sengit kepada Kuala Lumpur City FC dalam usaha meraih tiga mata berharga dalam perlawanan Derbi Lembah Klang malam ini.

Demi Kebanggaan!